Bazar menjual emas di Gaza penuh sesak dengan pengantin perempuan yang keluar membeli barang kemas sempena majlis perkahwinan masing-masing walaupun ekonomi di wilayah itu terjejas teruk akibat sekatan Israel.
Perniagaan emas di bazar itu berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu berikutan kempen Hamas yang menggalakkan perkahwinan dalam kalangan belia Palestin.
Di sebalik pelbagai kesulitan dan kemelut ekonomi di Gaza, emas kini menjadi pelaburan menarik kepada penduduk dan peniaga di wilayah berkenaan.
"Kami bukan saja tidak terjejas akibat sekatan Israel tetapi perniagaan kami menjadi lebih baik," kata peniaga emas, Iyad Basal.
"Kami tidak berhenti bekerja sejak sekatan dikenakan kerana kami memperoleh emas menerusi penyeludupan selain dibantu kempen kerajaan Hamas yang menggalakkan perkahwinan," katanya.
Israel dan Mesir menutup sempadan Gaza sejak Hamas menguasai wilayah itu pada Jun 2007.
Namun, sekatan itu tidak banyak menjejaskan peniaga-peniaga di Gaza.
Malah, perniagaan mereka berkembang maju hasil import produk menerusi terowong penyeludupan yang merentasi sempadan Mesir.
Beberapa peniaga memperoleh batu permata yang dibawa dari sempadan Erez dengan Israel.
Sempadan tersebut biasanya dibuka kepada wartawan-wartawan asing, petugas bantuan dan rakyat Palestin yang memiliki permit khas.
Hamas menggalakkan perkahwinan dengan menganjurkan majlis perkahwinan besar-besaran.
Ia turut melancarkan khidmat mencari jodoh kepada balu-balu perang dan gadis-gadis miskin selain memberi bantuan kepada beribu-ribu belia Palestin yang berhasrat mendirikan rumah tangga.
Hakim di mahkamah keluarga dikendalikan Hamas, Hassan al-Juju berkata, kadar perkahwinan di Gaza pada 2009 meningkat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Kesan kempen Hamas itu dapat dilihat di Bazar Qaisariya di bandar raya Gaza yang hampir sepanjang hari dipenuhi bakal pengantin.
"Harga emas menjadi mahal tetapi pengantin perempuan tanpa emas akan hilang seri," kata Amal, 25, sambil mencuba rantai emas yang akan dipakainya ketika hari perkahwinan.
Di Gaza, pengantin lelaki secara tradisi akan memberi wang kepada bakal isteri mereka yang sebahagiannya akan dibelanjakan untuk membeli barang kemas.
Dalam Islam, menyediakan jaminan kewangan kepada wanita adalah sebahagian daripada tradisi.
Ketika banyak negara dunia bergelut dengan krisis kewangan, rakyat biasa di Gaza tidak terkecuali beralih kepada emas sebagai bentuk pelaburan selamat dan alternatif kepada bank-bank tempatan yang menghadapi masalah aliran tunai.
"Mereka yang ada wang akan membeli emas kerana mereka tidak dapat memperoleh dan menyimpan wang di bank kerana krisis kecairan," kata seorang peniaga emas yang enggan dikenali.
Seorang lagi peniaga, Mohammed Yunis berkata, jualan emas di kedainya meningkat 20 peratus sepanjang tiga tahun lalu seiring dengan peningkatan tahap keselamatan sejak Gaza dikuasai Hamas.
"Hamas menyediakan jaminan keselamatan sejak mereka menguasai wilayah ini. Jadi, kami tidak lagi bimbang dengan jenayah curi," katanya.
Peniaga-peniaga mengakui harga barang kemas meningkat kerana cukai tinggi yang dikenakan penyeludup.
Namun, kebanyakan pengguna masih sanggup membeli barang kemas walaupun harga emas melonjak sehingga 50 peratus.
"Saya memilih untuk tidak membeli emas sekarang dan menyimpan wang sehingga harga turun sedikit. Tetapi, keluarga saya mendesak saya membelinya sebelum berkahwin," kata seorang bakal pengantin, Nisma.
dr sinarharian....
![[Most Recent Quotes from www.kitco.com]](http://www.kitconet.com/charts/metals/gold/t24_au_en_usoz_2.gif)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan